Monday, December 10, 2012

Kemahiran Mampu Memacu Arus Pendidikan Negara

KUALA LUMPUR: Persepsi masyarakat yang memandang pencapaian cemerlang dalam akademik memberi jaminan untuk kehidupan yang lebih cerah masih wujud.

Masyarakat negara ini sering dinasihatkan supaya belajar tinggi-tinggi, hingga ke peringkat Master (Ijazah Sarjana), senang dapat kerja dan bergaji besar.


Namun, sejauh manakah kebenaran di sebalik kenyataan itu? Adakah bidang akademik satu-satunya pilihan yang ada untuk pelajar mendapatkan pengajian tinggi?.

 

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Datuk Romli Hassan, berkata kelayakan kemahiran dan akademik adalah dua skop yang berbeza pengisiannya.

"Entah di mana silapnya, bidang kemahiran masih lagi dipandang enteng sekali gus sebahagian masyarakat membuat kesimpulan, bidang kemahiran hanyalah untuk mereka yang tidak berpelajaran tinggi atau dalam erti kata lain ia untuk golongan 'drop out' (tercicir).

"Jika dulu, memang diakui pencapaian cemerlang dalam akademik diagung-agungkan oleh masyarakat. Tetapi berbeza dengan sekarang, bidang kemahiran juga boleh menjadi laluan baru dan suatu pilihan untuk pelajar dan penuntut capai kehidupan masa depan yang lebih baik.

"Selari dengan seruan kerajaan yang mahukan transformasi dibuat, masyarakat juga perlu mengubah persepsi ini. Kemahiran juga memerlukan komitmen dan kerja kuat, ada merit dan ganjarannya," katanya.
Institut Latihan Tenaga Kerja Manusia (ILTJM) yang bernaung di bawah JTM, menyediakan hampir 100 peratus kursus pengajian berbentuk kemahiran yang meliputi pelbagai bidang termasuklah kejuruteraan, mekanikal, automotif, foundri, kimpalan arka dan gas, elektrik, mekatronik, seramik, pemesinan dan banyak lagi.

"ILTJM ini membabitkan 22 Institut Latihan Perindustrian (ILP), empat Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan satu Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI).

"Kami menawarkan program di peringkat sijil dan sijil lanjutan manakala ADTEC dan JMTI menawarkan program peringkat Diploma serta Diploma Lanjutan," katanya.

 

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kemahiranmampumemacuaruspendidikannegara/Article/index_html

 

No comments:

Post a Comment